KUALA LUMPUR, 22 Disember:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mungkin akan menarik balik kebenaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.
Presidennya, Datuk Azih Muda melahirkan rasa kesal kerana ada kakitangan awam yang dipotong gaji mereka oleh PTPTN sehingga kepada kadar maksimum dan tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan serta membebankan kedudukan kewangan mereka.
“Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya.
“Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Cuepacs 2015 di sini, hari ini.
“Kami (Cuepacs) rasa kesal kerana kenaikan harga barang yang sepatutnya 0 peratus dalam GST, telah dinaikkan,” katanya.Beliau juga meminta kerajaan agar segera mewujudkan mekanisma penetapan harga rumah dan mencadangkan agar mekanisme tersebut dapat meletakkan penetapan bagi peratusan kadar harga rumah serta keuntungan, yang bakal diperoleh oleh pemaju perumahan.








“Cuepacs turut memohon agar kerajaan memperuntukkan jawatan bagi kenaikan pangkat untuk kakitangan awam yang berkhidmat di bawah agensi negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Kata Azih, ia selari dengan pelaksanaan sebanyak 252 Skim Perkhidmatan yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai tahun depan agar pekerja tidak dinafikan hak dan peluang mereka untuk menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.